Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Sarawak menahan lapan kru daripada tiga buah bot nelayan dari Indonesia yang menangkap ikan tanpa permit di perairan negara pada pukul 5.20 pagi hari Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 22 hingga 62 tahun.
“Kesemua bot tersebut dikesan ketika rondaan operasi pihak Maritim di kedudukan lebih kurang 156 batu nautika Utara Tanjung Po.
“Ketiga-tiga bot berkenaan tiada nombor pendaftaran dan berasal dari Indonesia serta kesemua kru bot tidak memiliki pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM1 juta dan mereka yang ditahan dan barangan yang dirampas dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia turut menegaskan pihak mereka tidak akan berkompromi terhadap kesalahan seperti ini dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai salah laku atau insiden kecemasan yang berlaku di laut kepada mereka.
Baca juga: