2 pemilik bot nelayan didenda kerana langgar syarat lesen dan guna kru warganegara asing

Dua pemilik bot nelayan kelas C dijatuhkan hukuman denda masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM10,000 pada sebutan kes hari Jumaat lalu akibat beberapa kesalahan yang dilakukan di perairan negara.

Kedua-dua tertuduh, Peng Seng Heng, 58 dan Chia Teng Heng, 51 mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang.

Peng didenda sebanyak RM5,000 atas kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika bagi bot Zon C.

Di samping itu, Chia didenda sebanyak RM10,000 bagi dua kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika bagi bot Zon C dan menggunakan kru warganegara asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Dalam kesalahan yang sama, seramai 10 orang kru warga asing dan seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 25 hingga 51 tahun yang ditahan kini dibebaskan kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 3 April lalu di sekitar perairan Pulau Tioman kira-kira pukul 11.30 pagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat