Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyasarkan untuk mencapai jumlah pelaburan kumulatif sebanyak RM636 bilion pada tahun 2030 sebagai satu usaha untuk menyumbang kepada sasaran Ekonomi MADANI untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dunia dan tangga ke-12 teratas di dunia dalam daya saing global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan matlamat berkenaan yang turut menyasarkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5.5 sehingga 6.5 peratus dan KDNK per kapita sebanyak RM58,800 pada tahun yang sama.
Anwar yakin bahawa sasaran tersebut dapat dicapai oleh Iskandar Malaysia dengan adanya inisiatif-inisiatif yang diumumkannya sebelum ini.
“Saya percaya, sasaran pertumbuhan Iskandar Malaysia ini turut akan dipacu oleh inisiatif-inisiatif yang telah saya umumkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Kewangan Khas Forest City,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menambah perkara ini adalah selari dengan keputusan kerajaan bagi menyusun semula landskap agensi pengalakkan pelaburan negara yang dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
Anwar berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ke-32 yang antara lain telah meneliti cadangan hala tujunya sebagai Pihak Berkuasa Koridor dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 -2030 di bawah agenda Ekonomi MADANI.
“Mesyuarat tersebut turut membincangkan inisiatif-inisiatif strategik seperti menambah baik Pusat Khidmat Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC) selain meningkatkan sosiekonomi melalui padanan pekerjaan yang saksama,” tambahnya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Baca juga: