Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot atas pelbagai kesalahan di kawasan sekitar 0.49 batu nautika Timur Kampung Pengkalan, Kunak dan 0.20 batu nautika Selatan Pulau Timbun Mata pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya menahan dan memeriksa bot-bot tersebut sekitar pukul 10.15 dan 11.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, (melanggar syarat sah lesen) dan Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
“Salah satu kru bot yang melakukan kesalahan bom ikan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan berhampiran setelah melihat kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.
“Bagi kesalahan langgar syarat sah lesen Zon Maritim Lahad Datu telah menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Suzanna berkata, antara kesalahan yang direkodkan termasuklah melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.49 batu nautika serta menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Katanya, turut dirampas bot pam serta sebuah enjin bot, segulung hos kompressor, dan satu botol bom ikan dengan keseluruhan nilai rampasan lebih RM50,000.
Manakala kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Susulan itu, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089- 885727 atau MERS 999.
Baca juga: