Pendaki warga China cedera turun Gunung Kinabalu

Seorang pendaki warganegara China mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Kinabalu pada Rabu.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Bantuan Feranideh, mangsa seorang wanita mengalami kecederaan terseliuh dan bengkak di bahagian buku lali sebelah kanan semasa perjalanan turun dari kilometer 6.2 Gunung Kinabalu.

“Seramai 14 anggota Bomba daripada Pasukan Bomba Bantuan (PBB) MOSAR dsn Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pihak kami di lokasi kejadian, mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahahagian buku lali dan malim gunung telah membawa mangsa ke Sub Station Panalanban untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, anggota bomba yang tiba di lokasi telah memberi rawatan awal dan seterusnya membawa turun mangsa menggunakan ‘robinson strecher’ menuju ke Timpohon Gate.

Justeru itu, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut dan operasi penyelamatan tamat lebih kurang pukul 4.50 petang.

Pada 12 Februari lalu, turut dilaporkan seorang pendaki warga China turut diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika turun dari puncak gunung di kawasan kilometer 7.5.

Lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan mengalami pendarahan di kepala dan telinga selepas terhempas di bahagian belakang kepala mangsa.

Baca juga: