Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru orang ramai untuk tidak membuat andaian dan spekulasi terhadap insiden yang membabitkan tiga atlet bola sepak Malaysia.
Menurut satu kenyataan pada Khamis, AMK mengambil maklum akan isu serangan kepada pemain ternama bola sepak Malaysia, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim secara berturut-turut.
Jelas Ketua Biro Sukan AMK, Aziz Shari, sukan adalah medium perpaduan yang kuat menyatukan bangsa dan sebagai platform mengharumkan nama negara.
“Dengan adanya kejadian sebegini menyebabkan sukan bola sepak dianggap tidak selamat terutama buat anak muda.
“Sukan yang sepatutnya menjadi wadah penyatuan namun kini menyuramkan kehidupan masyarakat di negara dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja.
“Mewakili anak muda di Malaysia, diharapkan supaya masyarakat dapat bertenang dan tidak membuat apa-apa andaian dan spekulasi yang tidak berasas kerana insiden ini sedang dalam siasatan pihak polis,” jelasnya.
Aziz Shari turut memaklumkan agar rakyat Malaysia dapat mendoakan atlet-atlet kebangsaan berkenaan untuk kembali pulih dan dapat beraksi di arena nasional dan juga antarabangsa.
Sebelum ini, serangan samun membabitkan pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid pada Khamis lalu mengakibatkan beliau cedera di kepala dan mengalami kerugian RM5000.
Dua hari selepas itu, negara digemparkan dengan insiden bintang Selangor FC pula, Faisal Halim yang melecur tahap empat ekoran disimpah asid di sebuah pusat membeli-belah.
Selain itu, pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim turut diserang oleh dua individu tidak dikenali pada malam Selasa lalu.
Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut dan kepada mereka yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Baca juga: