Seorang mangsa penipuan pelaburan mengalami kerugian sehingga RM1,102,000.00 setelah membuat bayaran modal sebanyak 21 kali terhadap pautan akaun Facebook Warburg Pincus Legacy yang tidak wujud.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Superintenden Loi Yew Lik, Ibu Pejabat Daerah Kulim telah menerima satu laporan polis berkenaan kes tipu pelaburan tersebut pada 9 Mei 2024.
“Pengadu dilaporkan telah menekan satu pautan dan terus dimasukkan ke satu akaun grup aplikasi Whatsapp. Pada permulaan, pengadu telah membuat bayaran modal berjumlah RM2,000.00 dan telah mendapat keuntungan semula berjumlah RM780.00.
“Setelah itu, pengadu telah membuat bayaran modal lagi sebanyak 21 kali transaksi ke akaun bank yang dibekalkan sehingga berjumlah RM1,102,000.00.
“Namun, tidak mendapat sebarang keuntungan, malahan, diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM900,000 lagi bagi mendapatkan kesemua wangnya semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, mangsa enggan membuat bayaran tambahan yang diminta kerana mulai curiga dan mensyaki dirinya telah ditipu.
Yew Lik berkata, siasatan mendapati laman Facebook tersebut adalah palsu dan menggunakan nama Warburg Pincus yang merupakan syarikat pelaburan antarabangsa.
“Orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman web https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat pelaburan kepada mana-mana syarikat atau platform pelaburan,” katanya.
Baca juga: