Malaysia jalin kerjasama antarabangsa hapus diskriminasi wanita

Malaysia bersetuju menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa bagi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita melalui sesi Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri sesi dialog pembentangan laporan berkala Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) keenam dari 18 hingga 26 Mei di Geneva, Switzerland.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), memaklumkan Nancy akan menjadi menteri Malaysia pertama yang mengetuai delegasi Malaysia ke sesi dialog konstruktif itu, untuk menjawab persoalan berbangkit bagi mempertahankan laporan berkala ke-enam negara yang dikemukakan Malaysia kepada jawatankuasa CEDAW. 

“Beliau yang berlepas semalam turut disertai Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan pegawai kanan kementerian. 

“Selain itu, delegasi Malaysia turut disertai wakil daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

“Di samping itu, entiti bukan kerajaan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia turut mengambil bahagian dalam sesi dialog konstruktif itu,” katanya dalam satu kenyataan.

CEDAW diluluskan oleh Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 melalui resolusi 34/130.

Konvensyen itu disertai Malaysia pada 5 Julai 1995 antara lain memberi penekanan kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Di bawah Artikel 18 CEDAW, setiap negara anggota perlu mengemukakan laporan berkala setiap empat tahun sekali dan melaksanakan proses semakan serta menyediakan maklum balas dan menyertai sesi dialog konstruktif bagi memenuhi tanggungjawab negara terhadap konvensyen itu

Penyertaan Malaysia, menurut kementerian itu bagi menunjukkan komitmen serius Malaysia dalam setipa kerjasama di peringkat antarabangsa bagi menghapuskan diskriminaso terhadap wanita mengikut artikel terkandung di bawah CEDAW.

Justeru, KPWKM yakin penyertaan Malaysia dalam sesi Dialog Konstruktif CEDAW akan meningkatkan lagi impak usaha kementerian bagi mempertahakan hak asasi kumpulan sasar khususnya wanita dan kanak-kanak perempuan dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, perundangan dan dasar negara.

Baca juga: