Seorang lelaki ditemui meninggal dunia manakala rakannya selamat akibat dihanyutkan arus ketika memancing di Pantai Batu Manikar, Wilayah Persekutuan, Labuan pada Selasa.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.35 petang membabitkan Muhammad Sharulnizam Mat Sidon, 18, dari Kampung Merinding dan rakannya Suhairi Rosli, 18, dari Kampung Lubok Temiang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Layangan Huzyman Malikin berkata, mayat Muhamad Sharulnizam ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 7.40 malam, tidak jauh dari lokasi mangsa memancing.
“Salah seorang mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala seorang lagi mangsa masih diteruskan operasi pencarian.
“Mangsa kemudiannya, berjaya dijumpai oleh anggota Bomba Labuan dari unit scuba pada jam 7.40 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa disahkan telah meninggal dunia pada pukul 8.21 malam oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tidakan lanjut.
Beliau berkata, operasi itu melibatkan seramai 24 orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Rancha-Rancha (PPDA) dan BBP Layangan Sentral (PPDA) bersama jentera FRT, Nissan Frontier, Perodua Kembara, Mitsubishi Hilux, sebuah Bot Almunium, dan Nissan Urvan.
Difahamkan, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.32 malam.
Baca juga: