MOSTI, KPM tubuh jawatankuasa khas STEM bagi memenuhi keperluan industri

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Mesyuarat Koordinasi telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pertubuhan Jawatankuasa Khas itu bertujuan bagi memfokuskan penetapan hala tuju STEM di peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi negara dan keperluan industri.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, STEM adalah bidang yang merentas sektor dan perlu dilaksanakan secara kolektif melalui sinergi semua pihak yang terlibat dalam ekosistem STEM nasional.

“Kebelakangan ini, isu-isu berkaitan cabaran dan kekurangan bakat dalam bidang ini hangat diperkatakan di peringkat nasional.

“Kerajaan memandang serius berhubung perkara ini lantaran bakat STEM memainkan peranan penting dalam memacu pengukuhan industri dan sektor ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa agar pendidikan STEM diperkasakan bagi memastikan pemacuan pembangunan ekonomi negara melalui bidang-bidang kritikal dan baharu seperti pendigitalan, robotik dan Kecerdasan Buatan (AI) dapat direalisasikan.

Menurut kenyataan itu lagi, strategi itu bertujuan meningkatkan jumlah pelajar, kualiti pendidikan STEM serta penawaran dan permintaan dalam sektor STEM perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan daya saing dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.

Difahamkan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi tersebut.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan pegawai kanan daripada ketiga-tiga kementerian.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/05/29/alan-walker-teruja-bakal-bertemu-peminat-malaysia-22-jun-depan

Anda Mungkin Berminat