Seorang wanita maut dalam satu kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 7.0 Jalan Kuala Sedili, Sedili Kechil, Johor pada Khamis.
Polis Kota Tinggi telah menerima maklumat daripada orang awam berkenaan satu kes kemalangan lebih kurang pukul 3.45 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza yang merupakan peniaga telah mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Manakala, pemandu kenderaan jenis Proton Saga turut mengalami kecederaan di bahagian anggota badan serta masih menerima rawatan di hospital sama.

“Selain itu, dua lagi penumpang kereta Proton Saga hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, mangsa maut merupakan seorang wanita warga tempatan berumur 58 tahun, manakala, kenderaan Proton Saga dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun bersama dua lagi penumpang iaitu isteri berumur 30 tahun dan anak perempuan berumur enam tahun.
Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan dijalankan mengikut seksyen berkenaan, jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun,” katanya.
Baca juga: