Agenda Nasional Malaysia Sihat tawar pakej ‘Sihat Sepanjang Hayat’ – KKM

Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) merupakan inisiatif penting yang menawarkan pakej ‘Sihat Sepanjang Hayat’ dengan tujuan memberikan manfaat kepada rakyat melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni telah mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Siri 1 di Daerah Lundu dan Sambutan Hari Denggi ASEAN Bahagian Kuching 2024 yang diadakan di Kampung Pueh, Sematan.

“ANMS mengamalkan pendekatan ‘Whole of NationI’ yang melibatkan penyertaan menyeluruh daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), sektor swasta, dan rakyat bagi memastikan pelaksanaannya adalah menyeluruh dan efektif.

“Pada masa yang sama, sambutan Hari Denggi ASEAN yang diadakan pada 15 Jun setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman demam denggi. Aktiviti kawalan denggi perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan efektif bagi mengelakkan peningkatan kes denggi yang berterusan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam ucapannya, Datuk Lukanisman menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik-klinik kesihatan dan hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda-tanda penyakit denggi.

“Antara tanda-tanda tersebut termasuk demam kuat yang mengejut, demam berlarutan, ruam merah pada kulit, sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi dan biji mata, serta pendarahan di bawah kulit dan gusi,” katanya dalam ucapan tersebut.

Majlis ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesihatan awam dan memastikan rakyat mendapat kesedaran serta pengetahuan yang mencukupi untuk mencegah penyakit berbahaya seperti demam denggi.

Dengan usaha bersama semua pihak, KKM menyatakan harapan agar matlamat ANMS dan kawalan denggi yang lebih berkesan dapat dicapai.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Azizul Annuar Adenan; ADUN Opar, Billy Sujang; Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah; Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Johnny Pangkas dan Ketua Kaum Bantang Nek Bujur Pueh, Kampung Pueh, Eran Suut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat