KKM giat perketat Penggunaan rokok elektronik

Pengunaan rokok elektronik akan dikawal ketat menerusi Peraturan-peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan pada Jun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata demikian setelah menghadiri Sesi Perbincangan Meja Bulat Sempena Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BebAs) di Port Dickson baru- baru ini.

Dalam majlis sama, beliau menyatakan bahawa kerjasama NGO akan dipergiatkan bagi mewartakan dan mempromosikan Port Dickson sebagai ‘smoke-free zone’.

“Setakat ini pengunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“(Mengenai cadangan pengharaman vape) undang-undang dan peraturan boleh disemak dan dipinda sekiranya perlu, demi kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 akan dilaksanakan terlebih dahulu, iaitu menjadikan produk merokok termasuk vape sebagai produk yang dikawal selia dengan ketat.

Menurutnya sebarang cadangan lain akan dipertimbangkan mengikut tatacara sedia ada dan harus dibahaskan dalam ruang demokrasi yang matang.

Tambahnya, KKM memberikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada enam premis makanan di Persiaran Waterfront Port Dickson.

Difahamkan, pengiktarafan BeSS penting bagi memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat