Rangka manusia ditemui di tepi pantai

Kawasan tepi laut dekat Kampung Bagan Hailam, Tanjung Harapan, Klang digemparkan dengan penemuan rangka manusia pada Sabtu.

Rangka yang dalam keadaan tidak sempurna itu ditemui orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penemuan rangka terbabit dilaporkan orang awam kira-kira pukul 2 petang.

“Anggota polis bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati rangka manusia itu dalam keadaan tidak sempurna selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, polis memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan pihaknya bagi semakan lanjut.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi Balai Polis Bandar Sultan Suleiman di talian 03-31767622.

“Selain itu, sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Kamarul Hadi Che Harun di talian 011-69821395,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat