Nahas rombongan guru: APAD tunggu laporan lengkap sebelum ambil tindakan

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menunggu laporan lengkap mengenai nahas membabitkan bas persiaran dan treler di Rompin pada 9 Jun lalu sebelum memutuskan sebarang tindakan sewajarnya.

APAD menerusi satu kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya bekerjasama dengan dengan agensi terbabit bagi mendapatkan laporan lengkap insiden kemalangan itu.

Menurutnya, tindakan awal juga sudah dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian terbabit.

Sementara itu, APAD memaklumkan semakan mendapati bas persiaran terbabit dilesenkan di bawah syarikat Zuzin Holiday Sdn Bhd, manakala treler dilesenkan di bawah syarikat LSM Metal Ace Sdn Bhd.

“Ditegaskan bahawa, sekiranya hasil siasatan dan laporan diterima mendapati berlaku sebarang pelanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 45 atau Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang mana berkaitan,” katanya.

Katanya, insiden berkenaan dipandang serius membabitkan keselamatan orang ramai dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Sebelum ini, bas persiaran membawa 39 penumpang dan dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah di Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Difahamkan, setakat semalam insiden itu telah meragut empat nyawa, manakala 12 mangsa masih menerima rawatan di hospital di Rompin.

Baca juga: