Negeri

33 pengunjung kolam air panas Jasin disyaki dijangkiti wabak kencing tikus

Seramai 33 individu termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di Melaka disyaki dijangkiti wabak Probable Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, sejak minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa berkata, pada 7 Jun lepas, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi bahawa sekumpulan pelajar sebuah sekolah telah mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas berkenaan dua hari sebelum itu.

“Seramai 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga telah mengalami gejala selepas ke kolam tersebut pada 5 Jun lalu.

“Lima daripada mereka iaitu empat pelajar dan seorang penjaga telah dimasukkan ke wad Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Manakala individu bergejala yang lain telah diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

“Selain itu, sebanyak enam kes baharu disyaki Leptospirosis telah dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke Kolam Ayer Panas Jasin dari 7 Jun 2024 hingga 11 Jun 2024.

“Setakat ini jumlah keseluruhan kes yang disyaki adalah 33 kes. Kesemua kes masih menunggu keputusan ujian pengesahan,” ujarnya.

Tambahnya, penilaian risiko yang dijalankan mendapati lokasi itu mempunyai persekitaran yang kondusif untuk penularan penyakit kencing tikus dan sampel persekitaran turut di hantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan.

Ruzita berkata, sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi tersebut telah diarahkan ditutup serta-merta selama 14 hari bermula 8 Jun 2024 dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Difahamkan, pengusaha diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan, dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close