MAHB akan raih manfaat daripada prestasi cemerlang GIP urus lapangan terbang

Global Infrastructure Partners (GIP) dalam Gateway Development Alliance (GDA) yakin Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang tinggi, tahap perkhidmatan yang lebih baik dan pertumbuhan penumpang yang kukuh.

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley menjelaskan, GIP telah mengambil alih kepentingan dalam Signature Aviation pada 2021, yang memiliki dan menguruskan lebih 200 kemudahan penerbangan swasta di 27 negara, sekali gus menjadikannya sebagai rangkaian pengendali pangkalan tetap terbesar di dunia.

Pengambilalihan itu menggariskan pengalaman luas GIP dalam menguruskan rangkaian global aset penerbangan, katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Pada 15 Mei lepas, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Iley menjelaskan, GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

Iley menegaskan bahawa GIP dan rakan-rakannya optimis dan komited untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi.

Mereka melihat prospek yang amat baik untuk MAHB kembali meningkatkan kedudukan pasaran mereka dan memulihkan jaringan rangkaian penerbangan mereka yang berada di bawah paras optimum sejak beberapa tahun ini.

Bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, jelas beliau selain daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), GIP merancang untuk meningkatkan jumlah penerbangan dan pelaburan di lapangan terbang serantau utama seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta Sabiha Gokcen di Istanbul.

Oleh itu, GIP perlu mengambil keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan strategik mereka untuk memastikan lapangan terbang di bawah MAHB memiliki kapasiti yang mencukupi bagi beberapa dekad yang mendatang.

Mengenai pegangan sahamnya dalam MAHB, Iley memaklumkan walaupun GIP hanya merupakan pemegang saham minoriti, ia akan memainkan peranan selaku rakan strategik teknikal dalam GDA dan menyediakan MAHB dengan seberapa banyak sokongan dan bantuan operasi yang mereka perlukan.

Anda Mungkin Berminat