Sukan

MSNS lancar tabung solidariti bersama Selangor FC

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC atas keputusan yang tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada malam Rabu.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi tabung itu merupakan inisiatif yang bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian bagi menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 ke Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang sudah dibuka pada 26 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Bola sepak, yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban kenegerian yang melampau hingga menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan Baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan yang sedang dihadapi oleh Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

“Hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL.

“Kepada yang berhasrat untuk menyumbang, anda boleh mengimbas kod QR berikut sebagai tanda solidariti anda.

“Semoga dengan inisiatif ini dapat menggerakkan penyertaan semua pihak yang berkongsi citra dan aspirasi untuk mengembalikan semula sukan bola sepak sebagai sukan yang memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, MFL mengenakan hukuman terhadap Selangor FC ekoran tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut trofi Sultan Haji Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mei lalu.

Selangor turut dikenakan denda sebanyak RM100,000, pemotongan tiga mata liga, ganti rugi kepada JDT selain daripada terpaksa beraksi tanpa penonton berdepan Harimau Selatan itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut murka dengan keputusan MFL yang mengenakan denda terhadap pasukan Selangor FC dan menggagap keputusan itu tidak masuk akal.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close