Jenayah

Polis Melaka tumpas sindiket pinjaman wang tanpa lesen

Polis Kontinjen Melaka berjaya menumpaskan sindiket pinjaman wang tanpa lesen dengan penahanan tujuh individu di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Tun Perak, Melaka pada Selasa.

Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Datuk Wira Zainol Samah memaklumkan bahawa kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Mereka yang ditahan telah dibenarkan reman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu depan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, operasi sindiket tersebut menyasarkan pelanggan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

“Sindiket tersebut telah beroperasi di premis berkenaan sejak enam bulan lalu dan mengiklankan tawaran pinjaman mereka menerusi laman sosial Facebook.

“Sekiranya ada pelanggan yang berminat, mereka akan menghubungi mereka melalui panggilan telefon aplikasi WhatsApp sebelum melakukan transaksi pemindahan wang secara atas talian ke akaun bank pelanggan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Zainol berkata, sindiket tersebut menawarkan pinjaman antara RM500 hingga RM5,000 kepada pelanggan dan mengenakan faedah sebanyak 20 peratus seminggu.

Pelanggan turut diberikan satu mule account (akaun keldai) untuk transaksi pembayaran balik pinjaman yang telah dibuat.

Dalam pada itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan termasuk 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit komputer, satu unit komputer riba, 21 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai sebanyak RM1,213.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close