Wanita jadi korban pertama banjir landa Penampang

Seorang wanita menjadi korban pertama banjir yang melanda Sabah sejak petang Ahad, apabila mangsa dihanyutkan arus deras dan ditemui meninggal dunia selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap bencana itu awal pagi Isnin.

Nasib malang itu menimpa Monica Ting Siew Kwong, 37, ketika dalam perjalanan pulang ke selepas keluar bersama suaminya, Hii Ding Wei, 39, menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir di Pekan Donggongon Penampang pada pukul 1.40 pagi.

Ketika perjalanan pulang, pasangan terbabit cuba melalui kawasan ditenggelami banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus deras memisahkan pasangan itu apabila mangsa terlepas daripada tangan suaminya sebelum hanyut sehingga pencarian dijalankan penyelamat.

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira jam 8 pagi tadi di Kampung Hungab kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis yang memulakan operasi selepas menerima laporan pada pukul 1.45 pagi.

Sebelum ini, pasukan SAR menjumpai kasut yang dipakai mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan mayatnya dan ia menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.

Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat