Nasional

KPKM turunkan 94 iklan jualan beras atas talian tanpa lesen runcit sah

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menurunkan sebanyak 94 iklan penjualan beras secara atas talian di platform e-dagang yang tidak mempunyai lesen runcit yang sah dari tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei 2024.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, beras yang dijual turut dipercayai diperoleh daripada sumber yang tidak sah.

“Sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

“Beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan.

“Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, KPKM turut menyeru peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Maka, penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuat kuasa.

Pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) juga akan sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close