Nasional

Pameran Projek Arkib: Mustapa Hj Ibrahim, memperingati seorang seniman

Balai Seni Negara mengadakan pameran ‘Projek Arkib: Mustapa Hj Ibrahim’ di Galeri Potret, Balai Seni Negara bermula 26 Jun 2024 hingga 20 Januari 2025.

Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara menerusi satu kenyataan memaklumkan, pameran itu menghimpunkan sebahagian daripada keseluruhan bahan arkib Mustapa Hj Ibrahim yang telah didaftarkan sebagai koleksi seni visual negara pada tahun 2011.

“Antaranya fotografi hitam putih dan warna, manuskrip puisi, cetakan sutera saring, catan dan dua buah arca,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, pameran tersebut turut bertujuan menyebar kesedaran ‘pendokumentasian’ dalam kalangan seniman-seniman muda untuk membangunkan arkib mereka sendiri sebagai kepentingan nilai sejarah seni di masa hadapan.

“Mustapa Hj. Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Bagan Datuk, Perak dan meninggal dunia pada 28 Mac 2024 di Selangor.

“Beliau adalah tokoh pelukis yang menjadi penggerak kepada penubuhan kumpulan seniman yang digelar ‘Anak Alam’ sekitar tahun 1970-an,” katanya.

Sementara itu, Mustapa Hj Ibrahim juga berbakat sebagai penyair, pelukis ilustrasi, pemain teater, pereka prop teater dan pemuzik alam (gendang dan bungkau). 

“Penglibatan beliau dalam seni bermula apabila beliau mempelajari seni lukis dengan mengikuti kelas lukisan yang dianjurkan Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) di Studio Taman Budaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada akhir 1960-an.

“Beliau kemudian mula giat melukis secara serius melalui pelukis potret terkenal seperti Mohd Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som,” katanya lagi.

Terdahulu, karya seni beliau pernah dipamerkan di Balai Seni Negara menerusi “Pameran Pemandangan Malaysia” pada tahun 1972, “Pameran Warisan Endau/Rompin” pada 1985, “Pameran Terbuka Balai Seni Lukis Negara” pada tahun 1989 dan banyak lagi.

Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk melawat pameran “Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim” dan menghayati karya seni beliau di Galeri Potret, Balai Seni Negara bermula pada 26 Jun 2024 hingga 20 Januari 2025, masuk adalah percuma. 

Untuk Maklumat lanjut layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close