Polis siasat akaun palsu guna nama Raja Muda Selangor

Polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pejabat Istana Selangor pada Isnin kerana mendapati akaun TikTok tersebut bukan milik Tengku Amir Shah dan disahkan palsu.

“Mana-mana individu dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat mana-mana akaun media sosial yang melibatkan institusi diraja.

“Ini bagi mengelakkan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab dari menyalahgunakan gambar dan video peribadi kerabat diraja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hussein berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Md. Anuar Md. Amilah@Harun di talian 019-2255597.

Baca juga: