i2M Ventures diteruskan hingga tamat perjanjian dengan pelabur pada 2025

Khazanah tidak berhasrat untuk menambah pelabur baharu di bawah i2M Ventures, dan fungsi syarikat tersebut akan diteruskan sehingga tamat perjanjiannya dengan 12 pelabur aktif.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, masih terdapat lapan pelabur aktif di bawah Perjanjian Sokongan Kewangan dan empat pelabur aktif di bawah Perjanjian Fasilitasi ketika ini.

“Pelabur terakhir yang akan tamat perjanjian adalah pada 2027,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Katanya i2M Ventures tidak menjana sebarang pendapatan operasi dan melaksanakan fungsinya melalui peruntukan kewangan yang diberikan secara langsung oleh Khazanah Nasional.

“Pada 2020, keputusan telah dimuktamadkan untuk mengintegrasi operasi i2M Ventures bersama dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) dan mengubah i2M Ventures daripada sebuah syarikat yang aktif kepada syarikat yang tidak aktif,” katanya.

Katanya juga, i2M Ventures melalui IIB akan terus memantau pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) dan menyalurkan dana kepada pelabur-pelabur yang masih aktif.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24 yang dikeluarkan 4 Julai lalu mengesyorkan kajian semula dibuat bagi memastikan sama ada kewujudan i2M Ventures masih relevan setelah syarikat tersebut melunaskan semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur Perkhidmatan Perniagaan Global Iskandar (GBS Iskandar) pada 2025.

Syarikat milik penuh Khazanah Nasional didapati tidak mencapai objektif penubuhan yang ditetapkan iaitu mempromosi, memasarkan dan menguruskan perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.

Selaras dengan syor audit, Lim berkata, Khazanah akan mengkaji semula fungsi i2M Ventures setelah melunaskan semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur pada 2025.

Baca juga: