Serbuan telah menemukan sejumlah petrol serta peralatan yang disorok di dalam reban ayam dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran di sebuah kawasan berhampiran kubur di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan pada Rabu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Kelantan, Azman Ismail menerusi satu kenyataan pada Khamis berkata, pasukannya terlebih dahulu melakukan risikan di kawasan itu dan mengesan aktiviti pemindahan petrol dari sebuah kereta ke beberapa tong plastik.
Menurutnya, penemuan itu hasil serbuan penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, ke lokasi berkenaan kira-kira pukul 9 pagi Rabu.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Proton Wira Aeroback berpendaftaran tempatan mendapati tangki minyak yang telah diubahsuai mengandungi minyak petrol melebihi kuantiti asal.
“Siasatan lanjut mendapati lokasi itu dipercayai transit sementara penyeludup. Ia berdasarkan penemuan sejumlah tong berisi barang kawalan yang disembunyikan dalam reban ayam dan semak berhampiran,” katanya.
Jelas beliau, lokasi itu juga disyaki tempat pemunggahan serta pemindahan barang kawalan petrol dan diesel untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pangkalan haram atau tebing sungai di sempadan.
Azman berkata, pasukannya merampas 375 liter petrol dan kereta berkenaan yang bernilai keseluruhan berjumlah RM5,600.
Difahamkan, pihaknya turut mempergiatkan usaha pemantauan dan rondaan pencegahan ketirisan barang kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara di Kelantan.
Baca juga: