48 PATI disenarai hitam, banteras kemasukan semula ke Malaysia – JIM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak telah melaksanakan aktiviti Pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal pada 11 Julai 2024 (Khamis) dari Depot Imigresen Langkap, Teluk Intan, Perak.

Menurut kenyataan dikeluarkan JIM Negeri Perak, jumlah PATI yang terlibat dalam pemindahan tersebut seramai 48 orang melibatkan 41 warga Myanmar dan tujuh warga Vietnam.

“Pecahan mengikut jantina pula terdiri 41 lelaki dan tujuh perempuan berumur antara 22 hingga 55 tahun.

“Pemindahan PATI ke negara asal dilaksanakan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang setelah semua PATI tersebut selesai menjalani hukuman denda dan penjara seperti yang telah diputuskan oleh Pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI).

“Kesemua mereka didapati dengan munasabah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta 155 iaitu Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sehubungan itu, pemindahan PATI ke negara asal itu juga dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang di bawah akta dan peraturan yang sama.

Seterusnya, kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal juga telah disenarai hitamkan sebagai langkah mencegah mereka dari memasuki semula ke Malaysia.

Justeru itu, program penghantaran pulang berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan berterusan JIM sebagai usaha membanteras PATI dalam negara bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat