Lelaki ditahan bersama 2,014 gram syabu di Tampoi

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah menahan seorang lelaki bersama 2,014.7 gram dadah jenis syabu di Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Yusof Othman melaporkan suspek yang ditangkap merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun.

Hasil serbuan dan pemeriksaan JSJN IPD Johor Bahru Utara turut menjumpai dadah jenis syabu dengan berat kasar sebanyak 2,014.7 gram.

“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai Sabtu hingga 19 Ogos depan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang dari 12 kali sebatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pihak polis turut menekankan bahawa tindakan tegas akan diambil dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan yang melanggar undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah.

Baca juga: