Wanita hilang ditemui mati di ladang kelapa sawit

Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemui mati di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sri Kledang Hulu Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak polis kontinjen Selangor telah mengesahkah penemuan mayat seorang wanita iaitu Nur Farah Kartini, 25 di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, pihak polis mengesahkan mayat tersebut dipercayai adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan bersangkut Tanjung Malim, Perak dengan nombor siri Repot: 2146/2024 pada 11 Julai 2024.

“Ekoran penemuan ini, pihak polis juga telah menahan seorang lelaki warganegara berumur 26 tahun yang merupakan seorang penjawat awam.

“Sehubungan itu, siasatan telah diklarifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut satu kenyataan.

Terdahulu, Nur Farah Kartini difahamkan telah menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Taman Universiti, di Tanjung Malim, Perak.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Baca juga: