Seorang wanita warga tempatan mengalami kerugian lebih RM105,650 selepas menjadi manga penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh melaporkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 41 tahun yang menerima pautan mengenai peluang pekerjaan dengan komisen menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa menerima tawaran pekerjaan menerusi WhatsApp daripada Luxe Legacy yang menawarkan pekerjaan dengan komisen sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Mangsa yang berminat dengan komisen yang dijanjikan telah mendaftarkan diri dan melakukan 10 transaksi ke lima akaun berbeza dengan amaun kumulatif sebanyak RM105,650.
“Namun, mangsa mulai menyedari dirinya ditipu apabila mendapati laman web tersebut dan segala perbualan bersama pihak tersebut telah disekat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Balveer turut menyatakan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan sekiranya disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan hukuman sebat dan denda.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan scammer melalui portal Semakmule untuk menyemak latar belakang mana-mana syarikat atau skim yang menjanjikan pulangan yang lumayan hingga tidak munasabah.
Baca juga: