KKM perlu tingkat usaha, cegah pola AMR

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan memaklumkan KKM perlu mempertingkat usaha untuk mengekang, mengawal dan mencegah pola AMR sebelum ia menjadi malapetaka kesihatan awam, khususnya di peringkat global.

Jelasnya, usaha ini memerlukan pendekatan bersepadu pelbagai dimensi, contohnya mengekang penggunaan antibiotik yang tidak betul dalam bidang pertanian.

“JKPK Kesihatan turut mendapat taklimat daripada Dato’ Dr. Suresh Kumar Chidambaram, Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh selaku Penyelaras Utama NARC bersama-sama KKM bagi mengenal pasti cabaran dan keutamaan untuk negara dalam menangani ancaman AMR.

“Kegagalan untuk bertindak ini akan menyebabkan orang ramai terpaksa berhadapandengan risiko termasuk peningkatan kadar kematian dan tempoh tinggal di hospital yang lebih lama.

“Selain itu, ia juga akan menyebabkan beban kewangan yang meningkat ke atas sistem penjagaan kesihatan, menjejaskan keupayaan kita untuk memerangi pandemik, dan ancaman terhadap
keselamatan dan keterjaminan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

JKPK Kesihatan turut berkata, menuju tempoh Belanjawan 2025 dan RMKe-13, terdapat beberapa langkah yang perlu diberi perhatian bagi menangani cabaran pola AMR ini.

  1. Menyediakan dana yang mencukupi untuk langkah-langkah pencegahan di KKM, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
  2. Meningkatkan penyelidikan untuk antimikrob, termasuk antibiotik dan antiviral generasi seterusnya bagi menghadapi cabaran AMR semasa dan pada masa hadapan.
  3. Menyediakan langkah-langkah pengawalan pelepasan antibiotik yang tidak terkawal di sungai, kawasan sampah dan lain-lain tempat.
  4. Meningkatkan kesedaran rakyat untuk menggunakan antimikrob dengan selamat dan bertanggungjawab.

JKPK Kesihatan menyeru agar KKM dan Kementerian yang lain untuk membentangkan kepada JKPK Kesihatan dalam masa terdekat tentang strategi bersepadu berdasarkan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation) di peringkat tempatan dan pendekatan seluruh planet (whole-of-planet) untuk menangani cabaran ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat