Umat Islam sama sekali tidak boleh membaca doa Qunut Nazilah kepada sesama muslim jika sekiranya terdapat pertembungan atau perselisihan faham antara satu sama lain.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP), tindakan membaca doa tersebut ke atas umat Islam akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.
Persoalan mengenai penerangan hukum membacakan doa Qunut Nazilah kepada umat Islam yang lain atas faktor perselisihan faham terutamanya dalam pandangan politik telah dijelaskan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menjawab persoalan itu melalui laman sesawang, ianya adalah berdasarkan pengalaman Rasulullah SAW dan para sahabat serta pandangan daripada ulama, ianya jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan murtad sahaja serta tidak ke atas umat Islam sesama sendiri.
”Oleh yang demikian, pertembungan di antara sesama umat Islam, tidak kira apa jua sebabnya, tidak boleh untuk dibacakan kepada sesama muslim.
”Apatah lagi jika sekiranya dibacakan kerana terdapat pertelingkahan yang biasa terjadi terutamanya dalam lapangan politik dan seumpama dengannya,” jelasnya.
Mengulas mengenai bacaan Qunut Nazilah di Dewan Rakyat oleh pembangkang, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, ia berbalik kepada niat ahli politik pembangkang.
”Saya tidak tahu niat sebenar mereka membaca qunut nazilah. Jika bacaan itu untuk kehancuran peperangan (serangan Israel terhadap Palestin) adalah dibolehkan.
“Jika ditujukan kepada mereka (beragama Islam) yang berbeza fahaman politik, ia tidak dibenarkan. Doa ini lebih kepada kehancuran. Doa kehancuran tidak sepatutnya sesama Muslim,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menegaskan bahawa doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi untuk berpolitik dalam berdoa.
”Doa merupakan permohonan hamba kepada Pencipta yang memiliki segalanya.
“Ia merupakan luahan hajat dan keinginan hamba yang memohon agar Tuhan memustajabkannya,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Sabtu.
Baca juga: