Pentadbir di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPM, pihak mereka melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana ia boleh menjejaskan perkembangan potensi murid daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.
“Namun, ia perlu dilaksanakan berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, KPM turut mengambil perhatian serius terhadap isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Ia menunjukkan KPM sentiasa proaktif dalam menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda yang bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.
Baca juga: