Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA, langkah lahirkan anak muda berjiwa merdeka

Kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia bersama selebriti terkemuka tanah air, Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura dalam mengeluarkan koleksi tudung Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura adalah bagi melahirkan anak-anak muda berjiwa merdeka.

Pelancaran koleksi tudung yang dirasmikan pada Isnin di Westin Hotel, Kuala Lumpur itu menyaksikan 12 helai tudung hasil titik peluh selama tiga bulan oleh selebriti berusia 40 tahun itu menjelang bulan kemerdekaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kolaborasi itu merupakan satu inisiatif dari pihaknya dalam menyampaikan mesej penting kepada anak-anak muda generasi kini.

“Kepentingan KPM adalah dalam menyebarkan mesej dan personifikasinya yang berkaitan jiwa merdeka dan bagaimana anak Malaysia boleh memberikan sumbangan yang cukup besar kepada negara di dalam konteks kemakmuran dan membangunkan negara dengan semangat jiwa merdeka.

“Seterusnya, pihak kami juga menerusi kolaborasi ini mahu menyampaikan mesej penting iaitu dengan mempromosikan bulan kemerdekaan dalam koleksi 12 helai tudung yang dicipta bertemakan kemerdekaan itu.

“Seperti kita dapat lihat salah satu tudung dalam koleksi ini memaparkan warna bendera Malaysia dan seperti kita tahu, tidak semua warna sesuai digabungkan tetapi fazura dan pasukannya mempunyai kepakaran tersebut.

“Penghasilan-penghasilan koleksi tudung dengan gabungan dan pengenalan kepada warna-warna bendera Malaysia ini juga tidak jauh dari apa yang pihak KPM sedang lakukan ketika ini kepada anak-anak muda negara,” jelasnya ketika sesi sidang media selepas majlis pelancaran kolaborasi tersebut di Westin Kuala Lumpur, pada Isnin.

Jelasnya lagi, tema-tema yang memaparkan bunga kebangsaan iaitu bunga raya dan bangunan-bangunan pencakar langit di atas koleksi-koleksi tudung terbabit merupakan peranan dan prospek kolaborasi yang sebenarnya.

Sementara itu, Fazura turut berharap dengan pelancaran koleksi tudung tersebut dapat membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif kolaborasi yang unik dalam mendukung pembangunan pendidikan dan masyarakat Malaysia, seiring dengan semangat ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat