Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor melaporkan seorang pekerja warga asing maut dilanggar kereta api pada Sabtu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah JKKP Selangor, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa sedang bekerja mengawasi kereta api dari arah Pelabuhan Klang sebagai pemberi amaran kepada kerja-kerja pembersihan yang sedang dijalankan.
“Rakan sekerja mangsa telah memberi amaran akan kehadiran kereta api dari arah Kuala Lumpur dan mangsa telah memberi tanda faham akan kehadiran kereta api tersebut.
“Namun, mangsa tidak menyedari kehadiran kereta api dari arah Pelabuhan Klang dan telah dilanggar kereta api dan tercampak ke tepi landasan lalu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata kenyataan tersebut.
Susulan insiden tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan notis larangan untuk menjalankan aktiviti pembersihan sehingga siasatan selesai.
JKKP Selangor turut menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut.
Dalam pada itu, JKKP Selangor turut menekankan bahawa pihak mereka memandang serius mengenai kemalangan tersebut dan majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang.
Baca juga: