Polis tahan 3 individu disyaki terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak di Johor

Polis menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan di kawasan Eco Galleria, Taman Botani Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar S Muthuvelu memaklumkan suspek yang ditahan terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita.

”Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 28 hingga 55 tahun dan mereka telah ditahan di kawasan Iskandar Puteri, Gelang Patah untuk membantu siasatan.

”Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung secara sulit,” katanya dalam kenyataan.

Jika disabit kesalahan, pesalah akan menerima hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Terdahulu, pihak polis telah menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun sekitar pukul 7.15 malam di kawasan berkenaan pada Sabtu.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi hingga mampu mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Baca juga: