BN nafi halang 4 individu hadiri ceramah PRK DUN Nenggiri

Kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak membenarkan empat individu turut serta di pentas ceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah palsu.

Menerusi satu kenyataan, BN berkata bahawa kenyataan palsu yang ditularkan tersebut adalah mainan politik untuk memecah belahkan perpaduan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti berikut.

“Segala kenyataan media rasmi hanya akan disiarkan di laman Facebook rasmi BN sahaja,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut berharap agar semua orang tidak termakan dengan dakyah politik sebegini apabila setiap kali menjelang pilihan raya.

Pihak BN turut berharap semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti itu lagi.

Terdahulu, tular kenyataan palsu dari Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak membenarkan empat individu untuk hadir pentas ceramah PRK DUN Nenggiri.

Mereka termasuk Ketua Sekretariat Media Kerajaan Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli; Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain dan Ketua Penerangan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Wan Hadi.

Kenyataan palsu tersebut turut menyatakan bahawa tindakan tersebut dilakukan selepas mengambil iktibar daripada kekalahan besar parti tersebut ketika PRK DUN Sungai Bakap.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/07/24/kerajaan-bayar-tuntutan-skim-mysalam-rm936-12-juta/