Seorang wanita kerugian sebanyak RM249,7000 selepas diperdaya ‘scammer’ yang menyamar sebagai polis berpangkat Inspektor dan mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dengan pelbagai kegiatan haram di sebuah bandar di utara semenanjung Malaysia.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan wanita berusia 64 tahun itu pada Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan, kejadian berlaku pada Sabtu lalu dimana mangsa telah dihubungi oleh suspek dan memperkenalkan diri sebagai wakil daripada Jabatan Komunikasi Digital Putrajaya.
“Seterusnya panggilan pengadu telah disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Kemudian mangsa diminta memberikan butiran perbankan dan butiran peribadi miliknya.
“Oleh kerana mangsa berasa takut dan bimbang wang di dalam akaun miliknya disita, mangsa telah mengikut semua arahan suspek dengan memasukkan kesemua wang miliknya ke dalam lima akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, mangsa telah melakukan 47 transaksi ke atas lima akaun tersebut yang berjumlah RM249,7000.
Tambah beliau, pada Khamis, mangsa sekali lagi diminta memasukkan wang oleh suspek berjumlah RM10,000 bagi tujuan penyelesaian kes.
“Mangsa enggan menurut arahan suspek dan mula merasa bahawa dirinya telah ditipu.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dimana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.
Justeru, pihak polis menasihati orang ramai sentiada berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.
Baca juga: