Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pihak agar tidak selalu selesa dan lalai dengan keamanan yang dinikmati pada hari ini.
Ini kerana jelasnya, ancaman keselamatan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan tanpa diduga.
“…ancaman keselamatan wujud daripada pelbagai sudut, apatah lagi serangan atau permasalahan berisiko muncul dalam keadaan yang tidak terduga.
“Ancaman semasa tidak sekadar daripada sudut konvensional, sekali gus aspek keselamatan siber perlu turut menjadi keutamaan negara, mengambil kira risiko impak serangan dan jenayah siber terhadap rakyat dan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di Putrajaya.
Beliau juga menasihati agar sumbangan pasukan keselamatan tidak boleh dipandang enteng, terutama dalam memastikan keselamatan serta menangani ancaman dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara keselamatan dan kedaulatan negara tidak sekadar di bahu pasukan keselamatan, bahkan perlu dipikul bersama oleh setiap rakyat.
Bagi memastikan matlamat keselamatan ini dipenuhi kerajaan Madani sentiasa mengangkat aspek kesiapsiagaan aset dan fasiliti serta kebajikan anggota keselamatan sebagai keutamaan.
Untuk itu, selepas meneliti keadaan daif kebanyakan fasiliti keselamatan sempadan di Utara Semenanjung, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi penambahbaikan fasiliti ini dan ia perlu dilaksanakan dalam kadar segera.
Anwar bagaimanapun, menegaskan kaedah pembelian aset keselamatan mesti dilaksanakan dengan mematuhi tatakelola yang ditetapkan bagi membersihkan imej pasukan keselamatan negara.
Baca juga: