PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencapai 85 peratus pelaksanaan inisiatif yang tersenarai dalam Belanjawan 2024, setakat 21 Jun.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKT, sebanyak 10 inisiatif telah berjaya dilaksanakan daripada 12 inisiatif yang tersenarai secara keseluruhannya.
Antara 10 inisiatif tersebut termasuk menaik taraf tandas awam, penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan projek pembangunan Kampung Baru Cina.
“Terdapat juga beberapa inisiatif yang yang melebihi 100 peratus daripada pelaksanaannya termasuk penyelenggaraan kolam takungan banjir, program Gerai Madani dan penukaran lampu jalan.
“Pencapaian ini merupakan jalinan kerjasama dan komitmen yang tinggi semua jabatan dan agensi dibawah KPKT dalam mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, KPKT turut berjaya memulihkan 247 projek sakit dan lima projek terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai lebih RM19.13 bilion.
Pencapaian dan usaha KPKT tersebut juga merupakan langkah dalam memperkasakan lagi fungsi dan peranan KPKT dalam melestarikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.
Oleh: Shafira Aziz