Azeem Mohon Maaf, Cabaran Berakhir

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, 20, terpaksa akur apabila menamatkan saingan di tempat tercorot daripada sembilan pelari pada aksi Saringan 2, pusingan pertama Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Ia sekali gus meranap impian untuk menyaksikan Azeem menjadi atlet Malaysia pertama mara ke separuh akhir acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik.

Dia yang berlari di lorong kelapan sekadar mencatat 10.45 saat (s) meluahkan perasaan kecewa dan memohon maaf kerana tidak dapat memberikan yang terbaik.

“Saya minta maaf tidak dapat memberi yang terbaik hari ini. Bukan keinginan saya nak berlari macam ini. Bukan keinginan saya juga untuk mengalami musim yang teruk macam ini,” katanya dalam satu temubual bersama wartawan Astro ARENA selepas tamat larian.

Aksi Saringan 2 diungguli pelari pecut Kenya, Ferdinand Omanyala yang mencatat 10.08s diikuti atlet Itali, Chituru Ali kedua dengan catatan 10.12s.

Pelari Jerman, Joshua Hartmann pula menduduki tempat ketiga dengan catatan 10.16s.

Hanya tiga pelari terpantas dalam setiap saringan layak ke separuh akhir.

Terdahulu, Azeem mengesahkan tiket ke pusingan pertama selepas menduduki tempat kedua dalam Saringan 1, pusingan kelayakan dengan catatan 10.42s.

Catatan direkodkan pada penampilan pertamanya di Olimpik kali ini juga jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan dimilikinya 10.09s ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

Sebagai rekod, Azeem beraksi di Olimpik Paris kali ini atas tiket ‘wild card’ selepas gagal melayakkan diri secara merit.

Anda Mungkin Berminat