Henti Manipulasi Isu Sumbangan Kepada Sekolah – Fadhlina

PETALING JAYA: Semua pihak diminta berhenti memanipulasikan isu penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut telah selesai dengan penegasan dibuat keputusan Jemaah Menteri untuk mengekalkan garis panduan sedia ada.

“Saya rasa isu ini telah selesai dan kita kekal bersama dengan keputusan Jemaah Menteri iaitu mengekalkan garis panduan bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

“Jadi, saya harap ia tidak berbangkit lagi dan kita tumpukan kepada isu pembangunan pendidikan yang lebih utama ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bola Sepak untuk Sekolah FIFA dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di Nibong Tebal pada Sabtu.

Kontroversi berkenaan tercetus bulan lepas apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

Sehubungan itu, KPM memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah pada 26 Julai lepas.

Panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Anda Mungkin Berminat