Impian Lee Zii Jia buru emas pertama negara terkubur

HASRAT rakyat Malaysia menyaksikan Lee Zii Jia memburu emas pertama Malaysia di Pentas Olimpik Paris 2024 terkandas setelah tewas dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.

Aksi set pertama menentang pemain dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn itu menyaksikan Zii Jia kelihatan tergapai gapai apabila segala strategi yang dilakukan tidak membantunya yang membolehkan mata kemenangan pertama berpihak kepada Juara Dunia 2023 itu, 21-14.

Cubaan mengheret permainan ke set penentuan itu gagal selepas kemaraan pihak lawan sukar disekat di set kedua.

Aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle itu menyaksikan Kunlavut tidak memberi muka kepada pemain kelahiran Kedah itu sekali gus menoktahkan kemenangan 21-15 dalam tempoh 50 minit.

Kekalahan itu bermakna Lee Zii Jia bakal turun menentang lawan dari India, Lakshya Sen atau atlet dari Danemark, Viktor Axelsen dalam penentuan pingat gangsa yang akan berlangsung pada Isnin.

Oleh: Wahida Ramlan

Anda Mungkin Berminat