Alami kekejangan, Aisyah Zubir gagal tamatkan perlumbaan

Oleh: Wahida Ramlan

PARIS: Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir terpaksa menarik diri dalam acara berbasikal lebuh raya (road race) wanita Sukan Olimpik Paris 2024, selepas mengalami kekejangan pada kedua-dua belah kakinya, pada Ahad.

Berikutan kejadian itu, Nur Aisyah diklasifikasikan sebagai tidak menghabisi perlumbaan (Did Not Finish) bersama-sama 13 pelumba lain oleh laman sesawang rasmi Olimpik.

Perlumbaan sejauh 158 kilometer itu menyaksikan pelumba Amerika Syarikat Kristen Faulkner membawa pulang pingat emas dengan catatan 3:59:23 saat (s), manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul pingat perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).

Nur Aisyah mencipta sejarah muncul pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia pertama untuk beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkan slot buatnya ke Paris 2024.

Beliau juga pernah merangkul tempat kedua dalam Kejohanan Kebangsaan Malaysia WE dan tempat kedua dalam Kejohanan Sukan Asia Tenggara WE – Lebuhraya Berbasikal (’22).

Anda Mungkin Berminat