Anwar turun padang tinjau pusat penjaja, beri jaminan indahkan pembangunan

Oleh: Syahirah Harish

CHERAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang dan beri jaminan akan terus berusaha mengindahkan pembangunan warung, gerai dan restoran agar lebih bersih dan berkualiti di seluruh negara.

Anwar memaklumkan sedemikian menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, selepas bertemu peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.

“Usai Majlis Pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri, saya singgah di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri untuk melihat kawasan persekitaran dan beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung yang sedang menjamu sarapan pagi.

“Persinggahan kira-kira 10 minit itu saya gunakan untuk melihat sendiri keadaan persekitaran dari segi kemudahan infra yang perlu ditambahbaik atau yang telah siap untuk dimanfaatkan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah penambahan atau keluasan kawasan parkir selain penghargaan kepada kerajaan di atas kemudahan bumbung baharu yang lebih selesa sekali gus menarik lebih ramai pengunjung di kawasan tersebut.

Pada hari yang sama, Anwar telah menyempurnakan penyerahan surat tawaran dan kunci rumah kepada sepuluh pembeli Pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri.

Beliau turut meninjau sendiri unit kediaman yang diduduki selain bertegur sapa dengan penghuni perumahan.