Oleh: Kamilia Ali
SELANGOR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas hujah pembangkang yang menyatakan bahawa bukan nilai Ringgit Malaysia (MYR) yang mengukuh, tetapi Dolar Amerika Syarikat (USD) dan Pound Sterling (GBP) yang melemah.
Katanya, hujah pembangkang hanya berdasarkan cakap-cakap kosong kononnya ekonomi Malaysia bermasalah.
Menurut Timbalan Muda AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu lalu menunjukkan dasar Kerajaan MADANI berada di landasan yang tepat.
“Peningkatan nilai ringgit ini berlaku lebih awal berbanding dengan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjangkakan ringgit mengukuh sekitar 4.5 berbanding dolar AS menjelang Disember ini.
“Perkembangan ini jelas menunjukkan satu bentuk pencapaian yang luar biasa dan jelas bahawa Ekonomi MADANI berada di landasan yang tepat.

“Prestasi luar jangka ini bukanlah suatu kebetulan memandangkan momentum dalaman ekonomi negara termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama, kadar inflasi dan pengangguran telah menunjukkan pencapaian luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Iman berkata, pengukuhan nilai ringgit tersebut sekali gus memberi manfaat besar kepada import negara dalam menampung perbelanjaan terutama produk makanan yang ditanggung kerajaan sebanyak RM80 bilion.
Sebelum ini, Ketua Penerangan BERSATU Wilayah, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyatakan bahawa ekonomi dunia kini bermasalah berikutan indeks saham Nikkei catat kejatuhan mata terbesar dalam sejarah.
“(Saya) tidak nampak apa-apa asas yang menyokong ringgit iaitu pelaburan langsung asing (FDI) jatuh, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jatuh, hutang negara bertambah, eksport menurun, keupayaan berbelanja rakyat dan kerajaan jatuh.
“Selain itu, perniagaan kecil dan sederhana semakin banyak yang tutup, kilang pun dah banyak yang tutup dan berpindah daripada Malaysia ke negara lain,” katanya.
Baca juga: