Istilah kafir harbi tak patut wujud pun di Malaysia –  Khairuddin 

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Penggunaan istilah kafir harbi tidak patut berlaku dalam konteks negara berbilang kaum dan agama, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, kafir harbi merupakan terma penentangan dalam Islam yang tidak boleh diguna pakai dalam konteks negara demokrasi.

“Sekiranya mana-mana parti masih menjunjung perlembagaan Malaysia dan dia adalah warganegara, maka kita tidak boleh kategorikan mereka sebagai kafir harbi.

“Jika ada salah laku pada mana-mana warganegara mereka layak dihukum berdasarkan undang-undang negara dan istilah kafir harbi ini merupakan penggunaan yang salah dalam konteks negara moden.

“Provokasi perkataan kafir harbi ini tidak patut berlaku dalam konteks negara islam Malaysia kerana kita perlu menerima realiti politik demokrasi dalam negara dan hanya menggunakan terma-terma demokrasi yang telah diperakui negara kita,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu meminta semua pihak berhujah secara ilmu dan akademik dan jika berlaku salah laku, bawa ke mahkamah atau biar pihak berkuasa ambil tindakan.

Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pengerusi majlis  telah melabelkan DAP sebagai kafir harbi di Malaysia menerusi kempen ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Ia antaranya disertai Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, anggota parlimen Bachok daripada PAS, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi majlis itu, Zamri Zahari menggelar DAP sebagai kafir harbi yang merancang menguasai Malaysia dengan bantuan sebahagian pemimpin Umno.

Dakwanya, sesiapa yang mengundi UMNO dalam pilihan raya kecil Nenggiri minggu depan seolah-olah sedia dikuasai oleh golongan itu.