Remaja ceroboh hospital direman 2 hari

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan menyamar sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Idris Shah, Serdang pada Khamis, dikenakan reman selama dua hari bermula hari ini.

Memetik laporan BuletinTV3, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret pagi tadi

Remaja tersebut dikenakan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan kerana bertindak menceroboh dan menyamar sebagai seorang penjawat awam.

Jika tertuduh disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan menceroboh dan penjara dua tahun atau denda ataupun kedua-duanya sekali atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

Terdahulu, remaja terbabit dibawa ke Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira pada pukul 8.40 pagi dengan diiringi dua orang polis sambil memakai baju lokap.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan remaja terbabit ditahan kira kira pada pukul 9 pagi semalam di lobi hospital berkenaan selepas cubaan mendaftar menggunakan identiti palsu.

Siasatan mendapati, suspek telah menceroboh dewan bedah hospital terbabit dan mengaku sebagai Pegawai Perubatan di situ dan mahu menjalankan pembedahan.

Dilaporkan, sepasang baju suit bedah serta lanyard milik hospital turut dirampas ketika penahanan suspek.