Wanita Ditumbuk, Teman Lelaki Gesa Saksi Tampil Beri Bantuan

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Tular di media sosial X berkenaan satu ciapan yang dimuat naik oleh seorang individu yang mendakwa teman wanitanya dipukul dalam satu kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kira-kira sekitar pukul 2.32 petang pada 31 Julai lalu.

Menerusi satu hantaran, rakaman dari kamera papan kemuka (dashcam) memaparkan beberapa individu lelaki menuju ke arah kereta wanita berkenaan selepas mereka memberhentikan kenderaan di laluan sebelah kiri jalan raya itu.

Difahamkan seorang lelaki berbaju hitam terus menjerit ke arah wanita berkenaan sambil melemparkan kata-kata kesat serta telah memukul wanita berkenaan yang turut kedengaran suaranya di dalam video berdurasi 1 minit 1 saat itu.

Menurut teman lelakinya yang menggunakan nama Reddo Wan di Facebook, kekasihnya telah dikasari oleh individu yang tidak dikenali.

“Teman wanita saya dipukul oleh dua individu dalam satu kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan pada bulan lalu. Semasa dipanggil memberi keterangan, suspek mengaku tidak bersalah mencederakan teman wanita saya.

“Suspek memandu kereta berjenis Toyota Vellfire dengan nombor plat VEV20,” katanya.

Beliau turut menggesa dan memohon bantuan kepada mana-mana pihak yang merupakan saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.