Ular cari ‘rumah’ baru bila hilang habitat asal

Oleh: Farah Faizal

PETALING JAYA: Kehilangan habitat asal ditambah cuaca panas melampau boleh menjadi punca binatang keluar mencari tempat baharu walaupun ia bukan tempat yang sepatutnya.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, disebabkan musim kemarau yang melampau, binatang seperti ular akan keluar mencari kawasan yang redup untuk berlindung.

“Bila habitatnya sudah tiada, jadi dia masuk ke kawasan perumahan kadang-kadang dia berteduh di rak, kasut, almari dan sebagainya.

“Saya minta penduduk supaya berhati-hati, kalau rumah ada halaman, pastikan sentiasa periksa timbunan kayu, sampah, barangan di luar rumah.

“Jika ada potensi kehadiran ular dari kawasan hutan atau semak berdekatan, penduduk diminta sentiasa peka dan berwaspada.

“⁠Sebagai penduduk tempatan, kalau rasa tempat tu ada hutan yang ada habitat ular, diminta segera hubungi pihak berkuasa untuk rizabkan sebagai kawasan perlindungan (seperti hutan simpan atau rizab hidupan liar) agar ia tidak dimusnahkan dan menyebabkan konflik ular manusia di masa hadapan,” katanya.

Justeru, masyarakat dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan ancaman ular yang begitu tinggi pada waktu panas.

Pada Khamis lalu, negara digemparkan dengan penemuan sejumlah 29 ekor anak ular sawa dan seekor induk dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20, Shah Alam, Selangor.

Anda Mungkin Berminat