Oleh: Kamilia Ali
MELAKA: Seramai 360 orang mangsa banjir yang dipercayai terlibat dalam kejadian banjir di Alor Gajah, Melaka setakat pukul 8 pagi ini.
Difahamkan, rekod mangsa banjir melibatkan 109 keluarga berbanding 248 orang daripada 48 keluarga pada semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim, terdapat enam pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan kesemua mangsa yang terlibat di daerah itu.
“PPS Balai Raya Lebar menempatkan 61 mangsa daripada 13 keluarga, manakala, PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah, sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga berada di sana.
“Di PPS Balai Raya Ayer Paabas, sebanyak 13 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan melibatkan lapan keluarga sementara di PPS Sekolah Sungai Jernih, sebanyak 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di situ.
“Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka Ar-Rasyidin adalah sebanyak 163 orang dan ia melibatkan 59 keluarga, manakala, sebanyak 95 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di Japerun Kuala Linggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarulsyah berkata, PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar telah ditutup pada pukul 9 malam tadi.
“21 kawasan di daerah itu terjejas akibat bencana antaranya Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung, Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih.
“Selain itu, Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Brisu dan sembilan lokasi lain yang berkenaan,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat berterusan selama enam jam telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Masjid Tanah.
Baca juga: